Umat Nabi Muhammad Diseru Di Titian Siratul Mustaqim

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Siratul Mustaqim SQ.
Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi Siratul Mustaqim, iaitu suatu titian atau jambatan yang terbentang di bawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
.
Dari Abi Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah  bersabda: “…dibentangkan titian Sirat di antara Neraka Jahannam, maka akulah dan ummatku yang pertama menyeberanginya. Tidak berkata-kata pada ketika itu kecuali para rasul dan doa mereka ialah : “Ya Allah, Selamatkan, Selamatkan!” (Hadis Riwayat Al-Bukhari r.a.)
.
.

Umat ​​Nabi Muhammad  Diseru

.
Allah سبحانه وتعالى menyeru: “Wahai Muhammad! Bawalah umatmu untuk diperiksa dan lintaskan mereka pada Titian Sirat yang dilebarkan. Panjangnya sejauh 5000 tahun perjalanan.”
.
Rasulullah  bersabda:

فيمر المؤمنون كطرف العين وكالبرق وكالريح وكالطير وكأجاويد الخيل والركاب فناج مسلم ومخدوش مرسل ومكدوس في نار جهنم

“Orang-orang yang beriman akan melaluinya seperti kerdipan mata, dan ada yang seperti kilat, angin, burung, kuda yang baik dan unta. Maka merekalah yang selamat dan diselamatkan. Ada juga yang dicarik-carik lalu dilepaskan dan ada pula yang terjatuh ke dalam neraka Jahannam.” (Muttafaq ‘Alaih: al-Bukhari, 22/448, no. 6886. Muslim, 1/427, no. 269)
.
Malaikat Malik berdiri di pintunya (neraka). Dia menyeru: “Wahai Muhammad! Siapa yang datang dari umatmu dan bersamanya ada pelepasan dari Allah سبحانه وتعالى, maka dia akan selamat. Jika sebaliknya maka, dia akan terjatuh di dalam neraka. Muhammad! Katakan kepada orang yang diringankan agar berlari! Katakan kepada orang yang diberatkan agar berjalan!”
.
Nabi Muhammad  bersabda kepada Malaikat Malik: “Wahai Malik Dengan izin Allahسبحانه وتعالى ke atasmu, palingkanlah wajahmu dari umatku sehingga mereka dapat melepasi! Jika tidak, hati mereka akan gementar apabila melihatmu.”
.
Malaikat Malik memalingkan mukanya daripada umat Nabi Muhammad . Umat ​​Nabi Muhammad  telah di pecahkan kepada sepuluh kumpulan. Nabi Muhammad mendahului mereka lalu bersabda kepada umatnya: “Ikutlah aku wahai umatku pada TitianSirat ini!”
.
.

Keadaan Semasa Melintasi Titian Sirat

.
Kumpulan pertama berjaya melintasi seperti kilat yang memancar.
Kumpulan ke 2 melintasi seperti tiupan angin yang kencang.
Kumpulan ke 3 melintasi seperti kelajuan kuda lumba.
Kumpulan ke 4 melintasi seperti burung yang pantas.
Kumpulan ke 5 melintasi dalam keadaan berlari.
Kumpulan ke 6 melintasi dalam keadaan berjalan.
Kumpulan ke 7 melintasi dalam keadaan kerap berdiri dan duduk.
Kumpulan ke 8 menarik muka-muka mereka dengan rantai.
Kumpulan ke 9 dan ke 10 mereka ketinggalan di atas Titian Sirat dan tidak dibenarkan untuk menyeberang.
.

Keadaan kumpulan ke 7 – 10 semasa melintasi Titian Sirat:

.
Kumpulan ke Tujuh melintasi dengan keadaan kerap berdiri dan duduk kerana mereka dahaga dan penat. Dosa-dosa terpikul di atas belakang mereka. Nabi Muhammad  berhenti di atas Sirat. Setiap kali, Baginda melihat seorang dari umatnya bergayut pada Titian Sirat, Baginda akan menarik tangannya dan membangunkan dia kembali.
.
Kumpulan ke Lapan menarik muka-muka mereka dengan rantai kerana terlalu banyak kesalahan dan dosa mereka. Bagi yang buruk amalan, mereka akan menyeru: “Wahai Muhammad!” Nabi Muhammad  berkata: “Allah! Selamatkan mereka! Allah! Selamatkan mereka!”
.
Kumpulan ke Sembilan dan ke Sepuluh mereka tertinggal di atas Titian Sirat yang bagai rambut dibelah 7 itu sambil menahan kepanasan julangan api neraka yang sedia menunggu di bawah mereka dan tidak dibenarkan untuk menyeberangi kerana dosa-dosa besar mereka yang terlalu banyak.
.
.

Tangisan Kanak-Kanak

.
Dikatakan bahawa, di pintu syurga, ada pokok yang mempunyai banyak dahan. Jumlah dahannya tidak terkira melainkan Allah سبحانه وتعالى sahaja yang mengetahui. Di atasnya ada kanak-kanak yang telah mati semasa di dunia ketika umur mereka dua bulan, kurang dan lebih sebelum mereka baligh. Ketika mereka melihat ibu dan bapa mereka, mereka menyambutnya dan mengiringi mereka memasuki syurga. Mereka memberikan gelas-gelas dan cerek serta tuala dari sutera. Mereka memberi ibu dan ayah mereka minum kerana kehausan kiamat. Mereka memasuki syurga bersama-sama.
.
Hanya tinggal, anak-anak yang belum melihat ibu dan bapa mereka. Suara tangisan mereka semakin nyaring. Mereka berkata: “Aku mengharamkan syurga bagi diriku sehingga aku melihat bapa dan ibuku.”

Anak yang belum melihat ibu dan ayah mereka telah berkumpul. Mereka berkata: “Kami masih di dalam keadaan yatim di sini dan di dunia.”

Malaikat berkata kepada mereka: “Bapa-bapa dan ibu-ibu kamu terlalu berat dosa mereka. Mereka tidak diterima oleh syurga akibat dosa mereka.”

Mereka terus menangis malah lebih kuat dari sebelumnya lalu berkata: “Kami akan duduk di pintu syurga moga-moga Allah Ta’ala mengampuninya dan menyatukan kami dengan mereka.”
.
Demikianlah! Orang yang melakukan dosa besar akan dikurung di tempat pembalasan yang pertama oleh mereka iaitu Sirat. Disebut “Tempat Teropong”. Kaki-kaki mereka akan tergantung di Titian Sirat.
.
Nabi Muhammad  melintasi Siratul Mustaqim bersama orang-orang yang soleh di antara yang terdahulu dan orang yang taat selepasnya. Di hadapannya, ada bendera-bendera yang berkibaran. Bendera Kepujian berada di atas kepalanya.
.
Apabila bendera Baginda mendekati pintu syurga, kanak-kanak akan meninggikan suara tangisan mereka. Rasulullah  bersabda: “Apa yang berlaku pada kanak-kanak ini?”Malaikat menjawab: “Mereka menangis kerana berpisah dengan bapa dan ibu mereka.” Nabi  bersabda: “Aku akan menyelidiki khabar mereka dan aku akan memberi syafaat kepada mereka, Insya Allah.”
.
Nabi Muhammad  memasuki syurga bersama umatnya yang berada di belakang. Setiap kaum akan tetap di dalam rumah-rumah mereka. Kita memohon kepada Allah سبحانه وتعالىagar memasukkan kita di dalam keutamaan ini dan menjadikan kita sebahagian daripada mereka.
.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah menyimpulkan bahawa:

والصراط منصوب على متن جهنم وهو الجسر الذي بين الجنة والنار يمر الناس على قدر أعمالهم فمنهم من يمر كلمح البصر ومنهم من يمر كالبرق ومنهم من يمر كالريح ومنهم من يمر كالفرس الجواد ومنهم من يمر كركاب الإبل ومنهم من يعدو عدوا ومنهم من يمشي مشيا ومنهم من يزحف زحفا ومنهم من يخطف خطفا ويلقى في جهنم . فإن الجسر عليه كلاليب تخطف الناس بأعمالهم فمن مر على الصراط دخل الجنة فإذا عبروا عليه وقفوا على قنطرة بين الجنة والنار فيقتص لبعضهم من بعض فإذا هذبوا ونقوا أذن لهم في دخول الجنة

“Ash-Shiraath dibentangkan di atas neraka jahannam, ia adalah titian di antara syurga dan neraka. Manusia melaluinya (meniti di atasnya) bersesuaian dengan kadar amal perbuatan mereka, di antara mereka ada yang melaluiya sepantas kerdipan mata, ada yang melaluinya seperti kilat, ada yang melaluinya selaju angin, ada yang melaluinya seperti larian kuda, ada yang melaluinya seperti menunggang unta, ada yang melaluinya dengan berlari, ada yang melaluinya dengan berjalan, dan ada yang melaluinya dengan merangkak. Di antara mereka ada yang disambar lalu dilemparkan ke dalam jahannam, kerana di titian tersebut terdapat besi pengait yang menyambar manusia bersesuaian dengan amalnya. Sesiapa yang berjaya melepasi titian siraath, dia masuk syurga. Apabila mereka telah melaluinya, maka mereka berhenti di jambatan di antara syurga dan neraka, lalu dilaksanakan qishash dari sebahagian untuk sebahagian yang lain. Apabila mereka telah disucikan dan dibersihkan, mereka diizinkan masuk syurga.” (al-Aqidah al-Wasithiyah)

No comments:

Post a Comment

Nota Kecil
Dan diri ini hanya hamba yang mengemis kasih sayang dari PenciptaNYA AKU bukan USTAZAH..cuma HAMBA yang sedang mencari ILMU dan berkongsi kpd sahabat belog